LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata ditahan di padang golf milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Los Angeles, dua hari sebelum lawatan rasmi pemimpin itu ke lokasi berkenaan, menurut pihak berkuasa tempatan.Pejabat Sheriff Daerah Los Angeles dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek dikenali sebagai Jeanine John Taele, 38, dari Downey, California, ditahan pada petang Ahad di padang golf Trump di Rancho Palos Verdes.Menurut kenyataan itu, ejen persekutuan berpakaian seperti orang awam mengesan suspek berjalan di sekitar kawasan padang golf sambil mengambil gambar dan merakam video, selain dipercayai memantau persiapan keselamatan menjelang ketibaan presiden.Trump tiba di kelab golf itu dengan menaiki helikopter petang semalam bagi menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan.Hasil pemeriksaan ketika penahanan mendapati suspek memiliki satu kelopak peluru berkapasiti 16 butir yang diisi peluru jenis hollow-point di dalam poket seluarnya.Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek pula menemukan sepucuk pistol yang sudah diisi peluru bersama satu lagi kelopak peluru berisi peluru jenis sama.Siasatan lanjut yang dijalankan pejabat sheriff dengan kerjasama Unit Antikeganasan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di kediaman Taele membawa kepada penemuan sepucuk pistol, jaket kalis peluru, beberapa kelopak peluru berkapasiti tinggi, sejumlah peluru, dua radio komunikasi serta beberapa buku nota yang mengandungi catatan disifatkan sebagai membimbangkan.Kes itu dikemukakan kepada Pejabat Peguam Daerah Los Angeles pada Selasa untuk diputuskan sama ada pertuduhan akan difailkan terhadap suspek.Trump berdepan beberapa cubaan membunuh sejak melancarkan kempen terbaharu untuk kembali ke Rumah Putih.Pada Julai 2024, beliau menjadi sasaran tembakan ketika berkempen di Butler, Pennsylvania, menyebabkan seorang penyokong terbunuh manakala Trump cedera ringan pada bahagian telinga.Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki bersenjata ditahan di sebuah padang golf di West Palm Beach ketika Trump sedang bermain golf.