RIYADH: Arab Saudi pada Khamis mengumumkan penubuhan satu pakatan pertahanan maritim bagi menjamin keselamatan laluan pelayaran di sekitar Selat Bab al-Mandab.Langkah itu dibuat selepas kumpulan pemberontak Houthi mendakwa mereka mengenakan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar dunia, serta mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah dan prasarana minyak di wilayah kerajaan itu.Laluan maritim sempit itu adalah jalan air kritikal bagi penghantaran jumlah besar minyak mentah Arab Saudi ke pasaran antarabangsa, susulan eksport tenaga dari Teluk sebahagian besarnya terjejas akibat ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Selat Hormuz.Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan bersama bagi pihak 14 negara anggota pakatan itu, iaitu Bahrain, Bangladesh, Djibouti, Mesir, Jordan, Kuwait, Nigeria, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Sudan, Turkiye dan Yaman.Kementerian itu berkata, pakatan berkenaan bertujuan meningkatkan keselamatan maritim, memelihara kebebasan pelayaran, mengamankan laluan perdagangan antarabangsa serta bekalan tenaga, selain melindungi kepentingan maritim bersama di Selat Bab al-Mandab, Laut Merah dan Teluk Aden.Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengesahkan pihaknya mengundang 51 negara dan organisasi ke mesyuarat berhubung penubuhan pakatan itu di Riyadh, pada Khamis.Katanya, wakil dari 43 negara dan satu delegasi Kesatuan Eropah (EU) menghadiri mesyuarat berkenaan, dengan 14 negara mengesahkan sokongan manakala selebihnya masih dalam proses berbuat demikian.Awal bulan ini, Arab Saudi dan Houthi saling melancarkan serangan buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus mengancam gencatan senjata 2022 yang masih bertahan walaupun tempohnya sudah tamat.